Thursday, August 31, 2006



“Awak fikirkan la Pina, cu anak kita. Bukannya patung mainan awak. Dia ada hati ada perasaan. Awak tahu tak, saya ni suami awak. Tapi saya macam dah tak kenal lagi dah isteri saya sekarang ni. Saya dah tak ada lagi dah Sapina yang dulu. Awak bukan lagi perempuan yang pernah saya kenal dulu.” Dengan berat hati Haji Kamil memulakan bicara.

Benar,dia seakan tidak lagi mengenali wanita didepannya itu.Hajah Sapina yang ada di depannya saat itu, bukan lagi isteri yang pernah dikenalinya dahulu. Terlalu jauh jurang perbezaan antara wanita di depannya itu dengan isteri kesayangannya satu waktu dulu.

“Saya dah tak kenal siapa awak lagi Pina.Dulu isteri saya adalah seorang ibu yang penyayang, wanita yang penuh sifat keibuan dan kasih sayang. Awak dah jadi orang lain Pina. Sikap awak yang mementingkan diri awak telah menyebabkan keluarga kita berpecah belah. Saya dah hilang anak saya disebabkan sikap pentingkan diri awak tu.” Merengus kasar Haji Kamil berbicara.

Saat itu dia sudah hilang sabarnya. Sudah hilang sikap tolak ansurnya. Sikapnya yang berdiam diri selama ini telah menyebabkan isterinya berkelakuan lebih teruk sehingga sanggup memaksa anak bongsunya itu menerima wanita lain.

Dia masih terlihat wajah sayu Hariz Azhan. Simpatinya menggunung tinggi. Hati tuanya terluka melihatkan kesedihan yang terpancar dari wajah itu.

“Awak tahu tak, saya masih tak dapat lupakan wajah Nas. Betapa sedihnya dia waktu tu. Awak tak nampak semua tu Pina.Awak tak tahu ke budak-budak tu saling menyayangi. Awak berdosa sebab memisahkan mereka. Awak mendera perasaan budak-budak tu sebab sikap pentingkan diri awak tu.”keras suara Haji Kamil menampar pendengaran Hajah Sapina.

Dia terdiam seribu bahasa. Tersentak dek teguran suaminya itu. Kata-kata Haji Kamil memukul kuat tangkai hatinya. Tanpa sedar teresak dia menangis.

Kejam kah dirinya memisahkan Qarin Nasuha dan Hariz Azhan? Entah bagaimana dia boleh berubah menjadi sekejam itu?

“Kalau awak masih sayangkan cu, awak fikirkan lah demi kebaikan dia. Itupun kalau awak masih mahu menjadi ibu yang baik. Kalau tidak, terpulanglah pada awak.” Ujar Haji Kamil. Dia bergegas pergi. Sudah letih melayani perangai isterinya itu.

Dia mahu melarikan diri seketika. Mahu melapangkan kepala yang serabut dengan pelbagai macam kerenah Hajah Sapina.

Hajah Sapina teresak mendengar kata-kata suaminya itu. Dia bagaikan tersentak dari tidur yang panjang dan mimpi indah yang hanya lah sebuah mainan tidur. Dia mahu memanggil Haji Kamil, namun suaranya tidak mampu keluar.

Hanya pandangan sayu bersama linangan air mata yang mengalir lesu. Dadanya sebak dengan kata-kata Haji Kamil. Sejak bila dia menjadi sekejam itu memisahkan Hariz Azhan dan Qarin Nasuha?

Sedangkan bukan dia tidak tahu peritnya bila cinta terhalang. Dia pernah melalui kisah sedih itu. Namun mengapa dia yang harus menjadi penghalang hubungan anak-anaknya pula kali ini.

Hajah Sapina tertunduk lesu. Selesu hatinya yang dijerut seribu penyesalan yang tidak berkesudahan. Saat itu terbentang luas wajah sedih Qarin Nasuha, wajah itu membelenggu seluruh ruang jiwanya. Ada setongkol kekesalan yang tersemat dalam dadanya saat itu. Segala kenangan dia dan Qarin Nasuha terlayar diruang mata.

Saat itu dia seakan tersedar dari tipuan yang panjang. Entah bagaimana dia mampu menyakiti hati setulus Qarin Nasuha. Gadis itu sudah terlalu banyak menanggung derita dan dia pula telah mencurahkan seribu racun pada sekeping hati yang terlalu terluka.

“Ya, Allah! Kejamnya aku,” tersedu Hajah Sapina. Terasa dadanya sebal dengan seribu penyesalan yang tidak ada penghujungnya. Di situ dia menangis teresak-esak menyesali perbuatannya.


Qarin Nasuha berjalan sendirian. Entah mengapa sejak tadi dia berdebar-debar. Terasa bagai ada sesuatu akan berlaku. Dan kali ini entah mengapa ingatannya pada Hariz Azhan terlalu kuat. Dia bagaikan dapat merasai kehadiran lelaki itu.

Kehangatan yang sama yang pernah dirasai tatkala Hariz Azhan dekat disisinya satu waktu dulu. Dan debaran yang seringkali melanda dirinya dulu kini semakin menyesakkan dadanya.

Mungkin kah? Dia bertanya pada dirinya sendiri. Namun cepat dia menidakkan persoalan hatinya itu. Mana mungkin Hariz Azhan ada disitu fikirnya. Mungkin kerana sejak kebelakangan ini dia terlalu memikirkan lelaki itu, lalu dia dibelenggu perasaan yang pernah menghantuinya satu waktu dulu.

Tambahan pula dia baru pulang dari tempat dimana terlalu banyak mengukir sejarah cinta buat dirinya dan Hariz Azhan. Mungkin lantaran itu ingatannya pada lelaki itu menjadi terlalu kuat sejak kebelakangan ini. Qarin Nasuha menyangkal lambungan perasaan yang sedang bergelut dalam dirinya.

Dia terus berjalan tidak mahu melayani perasaan yang semakin menjadi jadi. Masih ada lagi buah tangan yang dikirim keluarganya yang masih belum dibelinya. Dia tersenyum sendirian.

Hati terasa tenang mengingatkan kelaurga yang selalu ada disisinya. Rindu pada anak kecil miliknya dan kasih sayang ayah yang terlalu banyak memberikan sokongan saat dia memerlukan.

Alangkah rindunya dia pada keluarganya.Keluarga yang tidak meminta sebarang balasan atas segala yang dihulurkan. Keringat yang dicurahkan tidak minta dibayar walau sesen pun.Namun, kita yang serikali membelakangkan keluarga. Keluarga ditolak tepi demi sebuah kasih yang tidak pasti.



Hariz Azhan terpana. Dia seakan terpaku di situ. Matanya melekat pada sebujur wajah yang menyapa ruang matanya. Degupan jantung terasa begitu laju, selaju aliran darah yang tiba-tiba mengejutkan ulu hatinya.

Seakan tersedar dari trauma yang terlalu dalam dia berlari laju. Tidak mengendahkan orang sekeliliing. Matanya cuma menangkap sesusuk tubuh yang sedang bergerak jauh meninggalkannya.

“Qarin.” Lahir nama gadis itu dari mulutnya. Dia bergegas mengejar Qarin Nasuha yang sudah mula menuruni anak tangga kompleks membeli belah itu.

Dia pasti, gadis bertudung biru lembut dan berbaju kurung itu adalah Qarin Nasuha. Demi Allah, sehingga saat itu dia masih tidak melupakan wajah yang menjadi penghuni hatinya hingga saat ini. Hariz Azhan semakin tidak sabar, menyusup dicelah celah pengunjung pusat membeli belah yang sesak.

Dia mengejar langkah gadis itu. Dia turut terhenti bila tiba-tiba Qarin Nasuha berhenti dihadapan kedai buku. Dia tersenyum sendirian. Gadis itu masih tidak berubah sedikit pun, tabiatnya yang suka membaca masih tidak luntur hingga saat itu.

Debaran terasa begitu memekakkan telinganya. Hariz Azhan nekad.Perlahan dia menghampiri gadis itu. Terbau haruman Women of Heart yang digemari Qarin Nasuha sejak dulu lagi.Bersama debaran yang kian mencengkam perlahan-lahan dia mencapai tangan gadis itu.Menarik lembut tangan Qarin Nasuha.


Qarin Nasuha tersentak bila seseorang menarik tangannya. Sepantas kilat dia berpaling memandang ke belakang, namun apa yang terhidang didepan matanya menjadikan dia hampir hampir pengsan!Terkaku dia disitu seribu bahasa. Dia bagaikan tidak percaya apa yang ada didepan matanya. Tangannya digengam erat. Serentak itu dia merasakan aliran yang pernah satu waktu dulu meresapi kedalam dirinya.

“Riz?!”hampir menjerit Qarin Nasuha saat itu. Mata bulat memerhatikan lelaki didepannya. Hariz Azhan!

Dup!Saat itu dia merasakan tubuhnya hampir hampir melayang meninggalkan jasadnya. Aliran darahnya terhenti saat itu jua. Sungguh, dia tidak percaya sama sekali apa yang dilihatnya. Sesak dadanya saat itu. Hariz Azhan!!! Suatu nama yang telah terlalu lama di biarkan terkunci dan berkurung dalam jiwanya. Suatu cinta yang terbelenggu dalam jasadnya kini berdiri di depan matanya.

Lama mereka berdiri disitu. Waktu seakan terhenti bersama sama pertemuan yang tidak pernah dijangkakan antara meraka. Masing-masing masih dalam keadaan tidak percaya. Masih dalam terkejut yang amat sangat.

Hanya mata yang menjadi bibir untuk berbicara.Saling bertingkah dalam bicara rindu yang tidak berpenghujung.Meluahkan rasa kecintaan yang tidak pernah padam, meleraikan seribu dendam sayang yang sering menghantui.

Qarin Nasuha tersedu. Hati kecilnya tersentuh dengan pertemuan itu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Sukar mahu melakarkan perasaan yang sedang membebani hati waktu itu. Dia benar benar buntu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan dalam situasi itu.

Lalu dia hanya memerhatikan Hariz Azhan didepannya. Membiarkan lelaki itu memandangnya. Masing masing tidak tahu apa yang harus dibicarakan. Berdiri tanpa sebarang bicara. Dia cuba menarik tangannya yang digengam erat Hariz Azhan. Namun semakin kuat lelaki itu memegang tangannya.

Dia semakin sayu bila memerhatikan anak mata Hariz Azhan. Dan walaupun setelah tiga tahun berlalu, dia masih tidak mampu untuk melawan sinar bening yang lahir darinya. Semakin kuat tangisan Qarin Nasuha, airmata semakin laju menuruni tubir matanya.

Rasa cinta yang membelenggunya selama ini kian terlerai hanya dengan pertemuaan tidak sampai beberapa waktu.Terlalu sukar untuk dia mengungkapkan gelora yang merantai hatinya.

“Don’t cry honey, you hurting me.”Hariz Azhan berbisik lembut,dia menarik Qarin Nasuha agar berdekatan dengan dirinya, lantas menyeka air mata yang laju menuruni sepasang mata coklat milik gadis yang menjadi kekasih hatinya itu.

“Riz!” Qarin Nasuha tersentak. Sesungguhnya dia tidak menyangka Hariz Azhan akan mengulangi kembali ungakapan itu. Ungkapan sama yang pernah didengarinya satu waktu dulu. Ah, alangkah rindunya dia pada lelaki itu.

Tanpa sebarang ungakap dan pertanyaan mereka sedang melahirkan kerinduan yang tidak bertepi.Masing masing melepaskan rindu yang terlalu sarat. Tak terbendung lagi perasaan yang memukul tangkai hati.

“ Jangan menangis Qarin. Saya sayangkan awak.” Ujar Hariz Azhan. Dia tidak peduli tentang satu apa pun waktu itu. Baik apa yang berlaku disekeliling mereka mahu pun mata mata liar yang sibuk menyaksikan sandiwara yang bukan selalu mereka lihat.

Semakin hebat tangisan Qarin Nasuha. Hatinya bagai dicarik sembilu mendengarkan ungkapan sayang itu. Dia tidak pernah berfikir dia akan sekali lagi dibelai ungkapan sayang dari Hariz Azhan.

Terlalu sukar untuk menyatakan perasaan yang sedang hebat bertarung dalam dirinya. Rasa rindu dan cinta yang sedang berkecamuk menjadikan dia seakan tidak mampu untuk mengawal dirinya. Apa yang dia tahu, dia merindui lelaki yang sedang berdiri didepannya waktu itu.

“Cuk,cuk sayang abang kan. Jangan la majuk cam ni. Buruk la sayang.” Usik Hariz Azhan. Dia ketawa sendirian melihat gelagat Qarin Nasuha yang menarik muncung. Anak matanya dikecilkan tanda protes. Namun riak wajah itu semakin mencuit hati kecilnya.

Dia merenung lembut ke dasar anak mata jernih itu. Terlalu sukar baginya untuk mengungkapkan rasa sayang yang dikendongnya. Dia terlalu menyayangi gadis itu. Demi Allah, tidak pernah dia menyayangi mana-mana gadis sebegitu seumur hidupnya.

Dia tidak punya jawapan andai ada bertanya mengapa dia menyayangi Qarin Nasuha. Memang dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Namun hati kecilnya memang terlalu menyayangi gadis bermata bundar itu.

“Dah lama sangatkan cuk tak balik ke sini?”soal Hariz Azhan pada Qarin Nasuha. Cuk, singkatan panggilan bucuk buat buah hati kesayangannya itu. Lama kelamaan panggilan itu terlekat dengan sendirinya. Dan Qarin Nasuha pula sudah lancar memanggilnya dengan panggilan abang.

Satu panggilan yang seringkali mengundang gelak tawa gadis itu ketika mula-mula mereka mahu merubah panggilan antara mereka.Namun kini panggilan itu sudah menjadi sebati dan panggilan manja itu menambahkan kehangatan hubungan mereka.

Qarin Nasuha terleka dalam lamunannya sendiri. Tidak mendengar langsung pertanyaan yang diajukan Hariz Azhan. Dia sibuk memerhatikan jalan raya yang membahagikan Melaka Mall dengan Dataran MBMB atau mendapat jolokan Taj Mahal Melaka itu. Terlalu asing negeri kebanggaanya itu pada dirinya waktu itu.

Sudah terlalu lama rajuknya sehinggakan dia menjadi asing pada tempat tumpah darahnya. Sudah banyak pembangunan yang kian mengubah wajah negeri Hang Tuah itu.
Keindahan Taj Mahal itu menyebabkan dia tenggelam dialamnya sendiri.

Kelibat orang lalu lalang dan pacutan air ditambah cahaya terang waktu malam semakin menarik perhatiannya.Anak matanya jatuh pada langkah si anak kecil yang berlari riang didepannya. Tanpa sedar dia turut tersenyum sendiri. Serentak itu rindunya pada Hariz membuak buak.Dia rindukan si kecil itu.

“Cuk,”panggil Hariz Azhan lembut. Faham sangat dengan gadis itu bila dilihatnya Qarin Nasuha terleka memandang anak kecil itu.

“Ada apa bang?”Tanya Qarin Nasuha lembut. Dia tersentak dengan panggilan manja itu.

“Tengok apa tu sayang? Sampai abang panggil pun tak dengar bucuk?”soal Hariz Azhan. Dia memandang anak mata coklat itu sehinggakan Qarin Nasuha melarikan pandagannya.

“Tak ada apa lah.Orang tengok budak tu. Comel je,teringat Riz kat rumah tu.”ujar Qarin Nasuha. Dia jadi malu bila direnung begitu. Sejak dulu lagi, itu lah kelemahannya. Dia mudah tunduk dengan sinar mata milik lelaki yang telah menambat hatinya bertahun tahun lamanya itu.

“Riz kat rumah ingat,abang kat sini cuk lupa eh.”usik Hariz Azhan.Dia memandang nakal pada wanita yang menjadi kesayangannya itu. Hati tersentuh melihatkan ketenangan wajah itu. Dia sangat menyayangi Qarin Nasuha dan tidak akan mungkin dia akan memiliki gadis lain seperti itu.Cintanya hanya satu, dan sejak bertahun tahun lamanya cinta itu tidak pernah pudar walaupun tidak disulami kehadiran gadisnya itu.

“Memang la,Riz anak orang.Abang bukan.”jawab Qarin Nasuha. Sengaja mahu menyakat lelaki itu.

“Memang la,abang bukan anak cuk, abang papa Riz.”pantas Hariz Azhan menyambung kata kata Qarin Nasuha itu.

“Eeeee…tak malu. Gatal.”usik Qarin Nasuha. Tergelak mendengarkan gurau lelaki itu. Dia ketawa besar,sudah lama dia hilang senda gurau itu. Sudah lama dia hilang kehangatan kasih sayang lelaki itu.

Dan kini hari-harinya seakan kembali segar dengan kehadiran insan yang paling disayanginya itu. Hariz Azhan! Nama yang tak mungkin akan lenyap dari dasar hatinya. Dan dia akan menyayangi lelaki itu sehingga ke akhir hayatnya.

“Nak tak kita kawin, ada anak-anak. Nak tak cuk?”soal Hariz Azhan perlahan. Nada suaranya sudah cukup mengambarkan gelora perasaan yang dibendungnya itu.

Tersentak Qarin Nasuha dengan pertanyaan itu. Tidak semena mena dia jadi kaku tanpa seulas bicara. Direnungnya wajah tenang didepan mata. Riak wajah itu sudah cukup untuk membuatkan dia setuju tanpa berfikir panjang.

“Sayang,” ulas Hariz Azhan lembut.Dia mengelus jari jemari Qarin Nasuha bila gadis itu membatu tanpa ucapan.

“Abang sayangkan cuk, kita dah lalui macam macam perkara selama ni. Abang tak nak semua tu terjadi lagi. Dah terlalu lama dugaan memisahkan kita cuk. Abang dah tak boleh kehilangan cuk sekali lagi. Kita kawin ye?”lembut bicaranya. Satu persatu butir kata katanya lahir tanpa sebarang ragu.

Hariz Azhan sudah lama bersedia untuk itu. Memang dia mengidamkan gadis itu menjadi teman sejati seumur hidupnya. Menghabiskan waktu waktu tua bersama anak anak dan cucu andai ada keizinanNya.

“Abang…”terputus bicara Qarin Nasuha. Terharu dengan ungakapan yang tidak langsung terlintas dalam benaknya. Tersentuh hati kecilnya melihatkan keikhlasan Hariz Azhan. Dia turut sama merasakan getaran itu. Getaran cinta yang mengalir keseluruh tubuhnya.

Kehadiran cinta yang tidak pernah mati itu cukup membuktikan kasih sayangnya yang tidak pernah sekalipun luntur pada lelaki itu. Dia cukup menyayangi Hariz Azhan.Dan tiada sesiapa pun yang mampu menyayanginya sehebat lelaki itu.

Qarin Nasuha sedar dia tidak akan mungkin dicintai sehebat itu. Tidak akan ada lelaki lain yang akan menyayanginya seperti Hariz Azhan. Cinta pertama yang terlalu bererti padanya. Cinta itu lahir tanpa dipinta, lalu mereka terpisah, dan kerana cinta itulah mereka dianyam derita bertahun lamanya. Perpisahan yang terjadi menjadikan mereka makin menyayangi. Malah semaakin kuat ikatan cinta yang terjalin antara mereka.
“Cukuplah ye cuk, dan terlalu banyak halangan yang kita lalui. Kita kawin ye sayang.”bisik Hariz Azhan lembut. Dia mengelus jari jemari itu. Dia seakan dapat menyelami perasaan yang sedang menghambat kekasih hatinya itu.

“Janganlah menangis cuk.”sayu hati melihatkan wanita kesayangannya itu menitiskan air mata. Perlahan dia menyeka air mata yang jatuh satu persatu dipipi lembut itu.

“Abang,”panggil Qarin Nasuha.

“Ye sayang.”

“Orang sayang abang.”perlahan saja suara Qarin Nasuha.Namun cukup melantun kesegenap ruang hati Hariz Azhan.

“Abang sayang cuk juga.Dah ye, jangan nangis ye yang.”pujuk Hariz Azhan lembut. Dia menghulurkan senyuman buat buah hati kesayangannya.

Kalau di Agra, Taj Mahal menjadi lambang betapa hebatnya cinta sang raja pada kekasihnya, tapi disini, dibumi Melayu, tanah kelahiran periwa terbilang Nusantara ini, Taj Mahal itu menjadi lambang kasih sayang Hariz Azhan pada Qarin Nasuha.

Mungkin materialnya tidak sehebat Taj Mahal yang jauh nun disana, tapi kisah monumen cinta agung itu mungkin tidak dilanda dugaan sehebat mereka.Biarlah, walau apa pun kisahnya. Sebuah cinta tidak sehebat suatu cinta, kehadiran cinta tidak seindah sang pelangi, keabadian cinta tidak seabadinya warna biru warna sang laut.

&!burried at 11:15 PM